Pelajar yang cemerlang bukan saja handal dalam akademik tetapi juga hebat akhlak serta kelakuannya. Mencapai keputusan cemerlang dalam akademik tanpa jati diri atau keperibadian cemerlang, belum cukup untuk membolehkan seseorang pelajar itu dianggap sebagai cemerlang. Kedua-dua kualitas utama tersebut mesti ada pada pelajar cemerlang.
Kualitas-kualitas pelajar cemerlang yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
Amanah Pelajar yang cemerlang boleh dipercayai, jujur dan ikhlas dalam segala tindakannya.
Bijak
Pelajar yang cemerlang bijak mengurus diri, menggunakan masa, serta sumber-sumber di sekelilingnya.
Cergas Pelajar yang cemerlang sentiasa menjaga kesihatan fisik, pikiran dan emosi diri.
Dedikasi Pelajar yang cemerlang amat rajin, bersemangat tinggi serta komitmen dalam melaksanakan segala tugas dan tanggungjawabnya.
Elok Pelajar yang cemerlang baik dari segi penampilan diri, tuturkata dan perbuatan. Ia mempunyai perwatakan yang ceria, yakin dan senang didampingi. Ianya juga menjauhi diri daripada perbuatan maksiat. Ianya sedar bahawa mereka yang bergelumang dengan maksiat mempunyai jiwa yang resah. Hidup juga tidak diberkati Tuhan.
Pelajar yang cemerlang menjadi contoh kepada pelajar yang lain, baik dari segi gerak-gerinya, fikiran dan percakapannya serta tindakan-tindakannya. Keelokan peribadinya disanjung baik oleh orang lain termasuk guru-guru, ibu-bapa serta keluarganya.
Faham Pelajar yang cemerlang lebih banyak mendengar daripada bercakap. Sikapnya yang demikian, menyebabkan ia lebih banyak berfikir, menganalisa dan mengetahui sesuatu isu sebelum ianya memberi maklumbalas. Ingatannya juga kuat kerana ia mempunyai kualiti yang ingin benar-benar memahami apa yang didengar, dibaca, dilihat atau yang dipelajarinya.
Gigih Pelajar yang cemerlang sentiasa melakukan kerjanya dengan penuh minat dan tekun. Ia seronok belajar setiap mata pelajaran. Ianya juga pandai dan mudah menyesuaikan diri dengan semua guru yang mengajarnya.
Hasrat Pelajar yang cemerlang sentiasa menyimpan pada hati kecilnya suatu hasrat untuk menjadi manusia yang sangat berguna dan berjaya. Hasratnya untuk mencapai cita-cita atau impiannya memberikan suntikan motivasi kepadanya untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai kejayaan dalam kehidupannya.
Iman Pelajar yang cemerlang sentiasa taat kepada perintah Tuhan dan berusaha mencapai kejayaan selaras dengan tuntutan agama iaitu mengamalkan apa yang disuruh dan menjauhkan apa sahaja yang dilarang. Ianya juga mentaati ibubapa, pemimpin-pemimpin, guru-guru, undang-undang negara serta segala peraturan dan amalan yang harus diikuti.